‘Sustainable Fashion’? Apa tu?

Perlu ke anda korbankan ‘style’ anda untuk gaya hidup mampan? Jawapannya mestilah ‘tidak’!

Fesyen mampan merujuk kepada reka bentuk, pengeluaran dan penggunaan pakaian dan aksesori dengan cara yang meminimumkan kesan alam sekitar, menggalakkan amalan etika dan menyokong tanggungjawab sosial. Matlamatnya adalah untuk mewujudkan industri fesyen yang mesra alam, berdaya maju dari segi ekonomi dan kesaksamaan sosial.

Prinsip pertama dalam penghasilan fesyen lestari ini adalah penggunaan bahan mesra alam seperti kapas organik, fabrik kitar semula atau gentian yang dituai secara mampan. Pereka mengelakkan penggunaan bahan yang bersumber intensif atau berbahaya, seperti kapas konvensional atau gentian sintetik yang diperoleh daripada petrokimia.

Contoh bahan mesra alam yang digunakan adalah seperti kapas organik, buluh, rami atau poliester yang telah dikitar semula. Sesetengah jenama juga meneroka bahan inovatif seperti kulit cendawan atau fabrik berasaskan alga.

Mereka juga mengamalkan penggunaan air dan tenaga yang rendah semasa proses pengeluaran. Ini termasuk mengguna-pakai teknologi yang meminimumkan sisa dan pencemaran. Pakaian atau aksesori direkabentuk untuk mengurangkan sisa bagi menggalakkan pengguna mengitar semula atau menggunakan semula pakaian.

Jenama yang mengamalkan pengeluaran beretika memastikan pekerja dibayar gaji yang adil, bekerja dalam keadaan selamat, dan dilindungi hak mereka. Mereka juga menyediakan maklumat yang jelas tentang rantaian bekalan, sumber dan proses pengeluaran. Ini membolehkan pengguna membuat pilihan termaklum tentang pakaian yang mereka beli.

Fesyen mampan juga dikenali sebagai ‘slow fashion’ kerana ia menekankan kualiti berbanding kuantiti, di mana pengguna digalakkan untuk melabur dalam lebih sedikit barangan berkualiti tinggi yang tahan lama dan serba boleh. Di Malaysia sudah ada banyak pilihan jenama yang mengamalkan ‘sustainable fashion’.

Kecantikan dan kualiti mestilah selari dengan cara penghasilannya. Kenali jenama fesyen lestari di Malaysia yang mencipta produk yang cantik, diterajui reka bentuk yang lebih baik untuk masyarakat dan juga planet ini seperti The Modest Brand, Tarik Jeans, Kualesa, MUNI, BijiBiji, dan Talee. Jika anda penggemar ‘thrifting’ atau barangan guna-pakai, cubalah lawati Shimokita Space, Bintejivintej Store, Lazii. Vintage, atau Fifth. Kami pasti anda tidak akan kecewa!

Share artikel: