Denda RM10 juta akibat cemar sungai

PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga China berdepan denda sebanyak RM10 juta berserta hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun setelah didakwa melepaskan buangan bahan kimia ke dalam perairan daratan berhampiran kawasan perindustrian Jalan Kampung Orang Asli, Kuang, Selangor, bulan lepas.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu sehingga menyebabkan insiden pencemaran bau dan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 pada 23 Julai. Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata lelaki berusia 42 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor hari ini.

Pada 23 Julai, media melaporkan lebih 1,000 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, disebabkan henti tugas empat LRA susulan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah, Selangor.

Wan Abdul Latiff berkata tindakan tegas di bawah AKAS, akan dikenakan kepada mana-mana pihak termasuk pemain industri yang didapati melakukan pencemaran alam sekitar. Pertuduhan di bawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 (AKAS) yang dibaca bersama Seksyen 25(1) akta yang sama. AKAS 1974 yang telah dipinda dan mula dikuatkuasakan pada 7 Julai 2024, memberi keutamaan kepada pindaan hukuman, denda dan penalti dengan melibatkan julat kadar denda antara RM5,000 dan RM10 juta selain penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.

Share artikel: