Apa kaitan ikat tepi dengan isu pemanasan global?

‘Air ikat tepi dah macam sebati dengan jiwa rakyat Malaysia, tak kira bangsa’ – ayat ni mungkin boleh disalahfaham sebagai fakta tapi kita tak boleh sangkal yang memang teh atau kopi ais ikat tepi rasa dia lebih ‘umph’ kan? Sejuk dia buat kita rasa macam duduk tepi sungai dekat New Zealand, manis dia macam memori cinta pertama…lagi syok sebab boleh bawa kemana-mana. Tapi…

Setiap kali kita order air ikat tepi ni sebenarnya kita menyumbang kepada pemanasan global (atau bak kata urbanista, ‘global warming’). Kami sedar, apabila bercakap tentang kesan penggunaan sesuatu kepada persekitaran, sebenarnya ramai ahli masyarakat tidak dapat mengaitkan masalah tersebut secara langsung dalam kehidupan mereka, mungkin kerana Malaysia jarang berlaku bencana alam sekitar yang memberi kesan besar dalam kehidupan rakyatnya. Namun, kami terfikir…berbaloikah untuk hadap bencana demi kopi ais ikat tepi?

Sarapan pagi satu, makan tengahari pula sirap limau ikat tepi, petang layan teh ais ikat tepi, malam lepak mamak dengan geng pun pesan ikat tepi – kalau dikira begini, sudah 4 plastik, 4 penyedut minuman plastik (straw), dan 4 tali raffia plastik telah diberi untuk sekali pakai oleh seorang individu dalam satu hari. Bayangkan berapa ramai yang pesan ikat tepi sehari-hari?

Bukan tu saja, air ikat tepi ni selalunya mengandungi lebih ais dari air. Tahukah anda yang pengeluaran ais, terutamanya dalam persekitaran komersial atau perindustrian berskala besar, boleh menyumbang kepada pemanasan global? Restoran-restoran selalunya memesan ais dari syarikat pengeluar ais, dan pengeluaran ais biasanya memerlukan sejumlah besar tenaga elektrik, terutamanya untuk operasi berskala besar.

Elektrik yang digunakan dalam pembuatan ais selalunya dijana daripada bahan api fosil (seperti arang batu, minyak, atau gas asli), yang membebaskan karbon dioksida (CO₂) dan gas rumah hijau (GHG) lain apabila dibakar. Syarikat industri pengeluaran ais menggunakan sistem penyejukan, yang mungkin melibatkan penyejuk. Sesetengah penyejuk ini adalah gas rumah hijau yang kuat (contohnya, hidrofluorokarbon atau HFC) yang mempunyai potensi pemanasan global (GWP) yang lebih tinggi berbanding CO₂. Walaupun banyak sistem moden bergerak ke arah penyejuk yang lebih mesra iklim, sistem lama mungkin masih menggunakan bahan GWP tinggi.

Selanjutnya, ais selalunya perlu diangkut dan disimpan dalam keadaan sejuk untuk mengekalkan integritinya. Tenaga yang digunakan untuk pengangkutan dan penyimpanan peti sejuk meningkatkan lagi jejak karbon keseluruhan pengeluaran ais. Pengeluaran dan penyelenggaraan peralatan membuat ais juga melibatkan pelepasan, terutamanya jika jentera dikuasakan oleh bahan api fosil atau jika ia menggunakan penyejuk dengan GWP tinggi.

Artikel ni bukanlah untuk sailang mana-mana syarikat pengeluar ais, mahupun restoran-restoran yang menjual air ikat tepi. Ia sekadar peringatan (untuk kami juga) supaya kita beringat-ingat apabila ada rasa ‘teringin’. Kalau kita duduk makan di restoran, minum je lah dari gelas sebab boleh elakkan penggunaan plastik. Jika kita memang nak bungkus, boleh cuba bawa bekas air tahan sejuk sendiri. Bukan untuk orang lain, untuk masa depan kita juga kan?

Share artikel: