Pemahaman rakyat terhadap perkataan gah yang kian menjadi trend kepada syarikat gergasi

Kita di pertengahan 2024 dan rakyat sudahpun lali dengan aspirasi Malaysia MADANI, diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan rukun keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan. Kita sudahpun faham dengan lima yang lainnya, tapi adakah kita benar-benar faham maksud ‘KEMAMPANAN’ – konsep yang tertumpu kepada memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri?
Semenjak pandemik Covid-19 gemparkan dunia, terdapat peningkatan dalam kekerapan dan jumlah perbualan korporat gergasi tentang kemampanan. Sebagai rakyat juga, kita tak lari dari pengaruh ‘kitar semula’ dan ‘jimat api’, tetapi adakah itu sahaja yang kita faham tentang kepentingan sustainability atau kemampanan ni? Di sini kita gali lagi apa maksud kemampanan ni dan bagaimana ia dapat mengubah cara hidup kita dan generasi akan datang.
Tahukah anda yang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) akan dijajarkan dengan inisiatif kemakmuran bersama berasaskan tiga dimensi, iaitu pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar serta kerekayasaan sosial? Dimensi kemampanan alam sekitar yang dimaksudkan mengambil kira antara lain, ekonomi biru, teknologi hijau, tenaga boleh baharu (renewal energy) serta adaptasi dan mitigasi perubahan iklim.
Dalam tema ‘melonjakkan kemampanan’, kerajaan memberi tumpuan kepada mempercepat pertumbuhan hijau serta mempertingkat kemampanan tenaga dan mentransformasi sektor air. Syarikat dan rakyat dirancang menyaksikan peralihan seluruh negara kepada amalan ekonomi dan gaya hidup yang lebih mampan yang menghargai khazanah semula jadi dan kesihatan alam sekitar.
Pelbagai program telah dianjurkan dikalangan syarikat besar mahupun kecil untuk mewujudkan ‘tanggungjawab bersama’ dalam usaha ini. Kita digalakkan untuk bawa beg dan botol air sendiri ketika keluar ‘shopping’ dan kebanyakan rumah telahpun bersiap-sedia dengan bekas makanan, sudu garpu, dan straw khas sejak era pandemik lalu – untuk yang masih amalkan, anda hebat!
Selain itu, inisiatif Alam Flora dan syarikat lainnya dalam menggalakkan tabiat kitar semula dengan mengajar apa yang boleh diasingkan dan dihantar ke pusat kitar semula juga telah membantu rakyat untuk lebih peka terhadap sisa pembuangan dirumah. Macam-macam video TikTok boleh dicari untuk idea pengunaan semula – sama ada serpihan kaca yang dijadikan barangan dekorasi, sehingga ke sisa makanan yang boleh dijadikan sebagai kompos kepada pokok kesayangan anda.

Gaya hidup mesra alam mungkin kelihatan menakutkan, tetapi terdapat banyak perubahan kecil yang boleh dilakukan oleh orang biasa untuk mengurangkan jejak karbon mereka dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan. Betul, ‘jimat api’ untuk mengurangkan penggunaan tenaga bukan sahaja membantu alam sekitar tetapi juga boleh menjimatkan wang untuk bil utiliti.
Begitu juga dengan jimat air – mandi jangan lama, jangan lupa baiki sebarang kebocoran dan kalau boleh, gunakan tandas aliran rendah. Ia juga penting untuk mengambil kira penggunaan air semasa membasuh pinggan mangkuk atau mencuci pakaian, dan mengelakkan penggunaan mesin basuh pinggan mangkuk atau mesin basuh untuk beban kecil.
Pengangkutan adalah satu lagi segi di mana perubahan kecil boleh membuat perubahan besar. Cuba pilih untuk berjalan kaki, berbasikal atau menaiki pengangkutan awam dan bukannya memandu kerana ia boleh mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara yang boleh memberi kesan kepada anak cucu cicit kita. Jika pemanduan benar-benar perlu, ‘carpooling’ dan memilih kenderaan jimat bahan api juga boleh membantu mengurangkan pelepasan karbon.
Tak lupa juga, adalah penting untuk mengambil kira produk yang kita makan dan kesannya terhadap alam sekitar. Ini termasuk memilih produk yang diperbuat daripada bahan yang mampan, mengelakkan produk dengan pembungkusan yang berlebihan dan menyokong syarikat yang mengutamakan kemampanan. Di zaman internet sekarang sudah banyak informasi tentang produk-produk yang mesra alam, dan juga perosak alam. Kita cuma perlu rajin cari je.
Jangan ingat sebab kita ‘seorang’, kita tak boleh beri kesan kepada perubahan atau pembaikan alam. Terpulang kepada kita semua untuk melakukan bahagian kita untuk melindungi negara dan planet kita dan mencipta masa depan yang lebih mampan untuk generasi akan datang.