Siapa sangka, kadar pertumbuhan penduduk Malaysia dah menurun macam Jepun, Korea Selatan, China dan beberapa negara lain lagi. Ini akan menggugat salah satu ciri lestari iaitu “Socio”. Jumlah penduduk seharusnya berkembang.
Jumlah kelahiran Malaysia turun sebanyak 11.5 peratus kepada 93,500 kelahiran berbanding 105,613 pada suku tahun pertama 2024, ini adalah rekod terendah pernah dicatat menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada May 2025 seperti dilaporkan oleh Astro Awani.
Ini dikukuhkan lagi mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam kenyataan media pada November 2024, bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2023 adalah 188,100, menurun 12.5 peratus daripada 215,022 pada tahun 2022. Ah sudah, rasanya banyak betul dapat jemputan dari kawan-kawan dan sedara mara yang kawin atau yang kawinkan anak.
Dipetik melalui Astro Awani, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin mengulas, jumlah kelahiran hidup pada suku pertama 2025 merupakan rekod terendah pernah dicatatkan, dengan nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
“Selangor mencatatkan bilangan kelahiran tertinggi dengan 18,254 (19.5 peratus), manakala Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan yang terendah dengan 278 kelahiran (0.3 peratus),” tambah beliau.
Majoriti kelahiran direkodkan daripada ibu berusia 30-39 tahun dengan 49,816 kelahiran (53.3 peratus), diikuti oleh kumpulan umur 20-29 tahun (39.3 peratus).
Hanya 1.4 peratus kelahiran melibatkan ibu berumur kurang daripada 20 tahun, manakala terdapat tiga kelahiran dicatatkan oleh ibu yang berusia 55 tahun dan ke atas.
Penurunan ketara dicatatkan dalam kalangan etnik Cina dan India, masing-masing berkurang sebanyak 1 peratus dan 0.4 peratus berbanding suku pertama 2024.
Ingat, malam Jumaat ni buat apa? Jalankan tugas anda sebagai rakyat Malaysia!
Penulisan dan Olahan Semula: Kadir Rahman
Sumber:
astroawani.com/berita
Dose.gov.my